KOTA KINABALU : Warga Sabah mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal atas usahanya mengisytiharkan 24 Disember ini sebagai cuti am tambahan sempena hari Krismas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Merotai Sarifudin Hata berkata, ini menunjukkan sejarah yang perlu diingati meskipun Shafie Afdal beragama Islam namun beliau tetap mengingati denyut nadi masyarakat Kristian di negeri ini.
Katanya, cuti am tambahan ini akan memberi peluang kepada masyarakat Kristian berkumpul merayakan Krismas sekali gus meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga merayakannya.
“Cuba tengok laman Facebook rasmi Shafie Afdal, ramai warga Sabah mengucapkan terima kasih atas pengumuman tambahan satu hari lagi cuti menjadikan tambahan kepada cuti am termasuk pada 25 Disember ini.
“Kita berharap agar cuti tambahan ini akan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada mereka yang menyambut perayaan ini.
“Cuti am tambahan ini dapat membolehkan mereka yang merayakan Krismas pulang ke kampung masing-masing lebih awal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Seorang pengikut laman facebook rasmi Shafie Afdal dikenali Stefiano Jose Jel Eban berkata, beliau sekeluarga terhutang budi atas usaha Shafie Afdal mengumumkan cuti 24 Disember sebagai cuti umum tambahan.
Manakala, Stanley Ley mendoakan agar Shafie Afdal sekeluarga sentiasa dilindungi tuhan sekali gus cuti tambahan ini memberi ruang kepada mereka sekeluarga berkumpul dalam majlis yang meriah ini.