APMM Zon Maritim Sandakan selamatkan dua nelayan bot terbalik

SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan telah menyelamatkan dua nelayan tempatan yang hanyut selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Berhala, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Sandakan, Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata mangsa diselamatkan sejurus Pegawai Bertugas Harian terdengar suara mereka meminta pertolongan semasa membuat rondaan di jeti.

Katanya, pemeriksaan di sekitar jeti pukul 10.50 malam menggunakan “search light” telah mengesan lokasi mangsa yang berada lebih kurang 0.29 batu nautika selatan Pulau Berhala, tidak jauh dari jeti.

“Bot Kilat 34 yang ditugaskan ke lokasi kejadian bagi tugasan CARILAMAT telah berjaya menyelamatkan dua lelaki dewasa namun bot yang dinaiki mangsa tidak dapat diselamatkan.

“Mangsa dikenali sebagai Roslee Awang, 43, dan rakannya Fadzier Salleh, 36, warga tempatan didapati tidak memakai jaket keselamatan dengan keadaan ombak besar dan arus yang kuat telah menyebabkan bot mereka terbalik lalu tenggelam,” katanya.

Berikutan cuaca yang tidak menentu serta ancaman angin kuat Monsun Timur Laut ketika ini, beliau mengingatkan komuniti nelayan agar tidak leka dan mengambil pengajaran agar sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai boleh menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999 sekiranya berlaku kecemasan di lautan.