Madrasah Al-Fattah di Sandakan musnah terbakar, tiada kecederaan dilaporkan

SANDAKAN : Madrasah Al-Fattah di Kampung Sungai Tiram, Batu 19 di sini musnah dalam kebakaran berlaku pagi tadi, menyebabkan lebih 30 pelajar dan tenaga pengajar tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Komander Operasi, PBK I KUP Samzari Ganih, sepasukan anggota diketuai beliau bersama kelengkapan dan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.33 pagi.

Katanya, setelah tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran berlaku melibatkan bangunan madrasah jenis separuh kekal yang berkeluasan 30×70 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus..

Menurutnya pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan sumber air dari jentera bomba dan air terbuka.

Katanya kebakaran dapat dikawal pada pukul 3:34 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4:19 pagi.

Smzari berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Ketika ini pelajar dan tenaga pengajar ditempatkan sementara di Batu 6.