BELURAN : Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah bas ekspress berhampiran Kampung Bauto, Jalan Telupid – Ranau dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku lebih kurang pukul 2.30 petang Slketika bas ekspres itu sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Sandakan.
Katanya, ketika bas tersebut melalui lokasi kejadian, mangsa yang berumur 78 tahun dikatakan secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu yang berumur 36 tahun terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa hingga tercampak di atas jalan.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia lebih kurang pukul 5.35 petang,” katanya.
Kasim berkata, pemandu bas bersama 26 orang penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Katanya, semakan alkohol juga mendapati pemandu bas berkenaan disyaki tidak mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.