Sambutan Hari Krismas simbol keunikan cerminkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum – Ronald

KOTA KINABALU: Perayaan Krismas yang disambut dalam suasana yang meriah saban tahun merupakan simbol keunikan yang mencerminkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam ucapannya sempena Hari Krismas berkata semoga perayaan ini dapat disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kasih sayang supaya negara k terus dilimpahi dengan kedamaian, kebahagiaan dan kesejahteraan untuk semua.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada seluruh penganut agama Kristian di Malaysia,” katanya.

Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengajak rakyat negara ini sama-sama menzahirkan semangat kebersamaan dan memupuk silaturahim agar sentiasa hidup aman damai dalam masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Bersatulah kita dengan rasa kebersamaan untuk meraikan kepelbagaian yang terus menjadi keunikan negara kita tanpa mengira etnik, budaya dan agama,” kata Ronald.