SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin menggesa Kerajaan Negeri Sabah untuk memandang serius isu kemungkinan Sungai Segaliud yang merupakan sumber air terawat bagi 80 peratus penduduk Sandakan telah tercemar.
Katanya, ia susulan dakwaan oleh beberapa pihak termasuk penduduk di Kampung Segaliud mengenai ikan mati terapung di sungai itu yang disyaki berpunca daripada sisa dikeluarkan kilang sawit berhampiran.
Katanya, tidak ada salahnya jika perkara itu disiasat dengan teliti agar penduduk Sandakan boleh mendapat kepastian mengenai kualiti air terawat yang disalurkan ke rumah mereka, terutamanya untuk menentukan jika sumber air paip adalah selamat untuk digunakan dan diminum.
“Rakyat Sandakan memerlukan penjelasan yang jelas. Jabatan berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar harus membuat siasatan yang menyeluruh kerana ini melibatkan kesihatan hampir seluruh penduduk Sandakan.
“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah juga harus memeriksa jika tanaman kelapa sawit ini menurut syarat iaitu ditanam sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing sungai. Dalam hal ini, tindakan tegas harus diambil ke atas syarikat yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Penduduk dan nelayan setempat mendakwa kejadian ikan mati terapung itu berlaku hampir setiap tahun kerana terdapat kilang-kilang kelapa sawit berhampiran yang dipercayai telah membuang sisa secara terus ke dalam sungai.
Hal ini telah menjadi topik perbualan penduduk setempat kerana mereka mula sedar sumber air terawat adalah dari Sungai Segaliud berikutan kejadian air masin yang disebabkan oleh kerosakan di Loji Rawatan Air Segaliud, lebih kurang setahun lalu.
“Perkara yang paling membimbangkan mengenai kualiti air di Sandakan adalah Sungai Segaliud yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit yang dilihat ditanam terlalu dekat dengan tebing sungai. Racun serangga, baja dan pelbagai sisa kimia berkemungkinan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan pencemaran,” tambahnya.
George pernah mencadangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah tahun ini mengenai keperluan bagi Jabatan Air dan juga jabatan-jabatan berkaitan untuk berusaha memastikan kualiti air di daerah ini adalah terjamin selamat untuk digunakan.
Beliau juga pernah meminta Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan untuk memperkasa penyeliaan di kawasan Sungai Segaliud serta mengambil gambar dari udara (drone) dan mengambil tindakan ke atas ladang kelapa sawit yang tanamannya terlalu dekat dengan tebing sungai.
“Kualiti air di Loji Rawatan Air Segaliud juga harus diuji setiap hari termasuk jumlah kandungan klorida serta paras komposisi bahan kimia yang lain bagi memastikan air terawat yang dibekalkan kepada penduduk Sandakan adalah selamat untuk digunakan,” tambahnya.