KOTA KINABALU: Warga kerja Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) dituntut untuk meningkatkan komitmen yang tinggi menjelang tahun baharu 2022.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini antara pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi selepas mencari jalan untuk mengatasinya apabila berakhirnya pandemik COVID-19.
Katanya, KKRS mampu menjadi peneraju dalam pengurusan fasiliti serta penyelenggaraan insfarstruktur asas sekali gus merupakan antara menjadi tanggungjawab besar kementerian tersebut di negeri ini.
“Dalam usaha melonjakkan industri pembinaan negeri, KKRS memperkenalkan Pelan Strategik KKRS 2021-2025 Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 iaitu seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB-2030).
“Dalam Pelan ini, kita dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus dalam memperkasakan pembangunan insfrastruktur dikuti dengan usaha memantapkan pengurusan dengan memperkasakan pengurusan perkhidmatan bekalan air di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pelan strategik ini mampu menjadikan JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dengan berlandaskan perkhidmatan kejuruteraan melalui modal insan yang kreatif dan inovatif serta menggunakan teknologi terkini.
“Justeru itu, JKR akan bertanggungjawab untuk melaksanakan agenda tersebut setanding negara maju lain melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.