KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan dalam pemulihan ekonomi negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, beliau menggesa semua ketua industri FCAS untuk menyokong usaha kerajaan dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negeri terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Sejak hampir dua tahun lalu, kita melalui begitu banyak cabaran akibat penularan pandemik COVID-19. Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 serta merangsang semula pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk membuka semula sektor ekonomi serta membenarkan aktiviti merentas daerah serta negeri.
“Kerajaan negeri sangat komited dalam mempergiatkan usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan sekali gus menarik pelaburan berimpak tinggi.
“Justeru kita percaya kepakaran seeta rangkaian FCAS luas, saya yakin gabungan ini akan memanfaatkan semua inisiatif kerajaan sekali gus memainkan peranan dalam usaha memulihkan ekonomi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Mengangkat Sumpah bagi AJK Pusat Penggal ke-13 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini semalam.
Teks ucapannya disampaikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Roland Chia.
Hajiji berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pelbagai pakej rangsangan berjaya mempercepatkan lagi usaha pemulihan ekonomi Sabah.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dilihat pertumbuhan negatif pelbagai sektor pada tahun 2020 menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun 2021.
“Oleh itu, pertumbuhan ekonomi Sabah pada tahun 2021 dijangka menunjukkan aliran pemulihan dan akan berkembang secara perlahan tetapi pada kadar positif 3.8 peratus hingga 4 peratus.
“Malah, dalam ucapan Belanjawan 2022 awal bulan ini, kerajaan menegaskan strategi serta pendekatan kita adalah untuk mempercepatkan pembangunan selaraa dengan hala tuju Sabah Maju Jaya.
“Bagi tahun 2022, kita memperuntukkan sebanyak RM919.18 juta untuk pembangunan sektor berkenaan. Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak RM8.48 juta daripada RM910.7 juta pada tahun 2021,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dalam meliputi semua sektor yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta menjana peluang pekerjaan kepada orang ramai.
