BANDAR SERI BEGAWAN: Pejabat Perdana Menteri Brunei pada Khamis mengumumkan penggantungan sementara aktiviti rentas sempadan antara Brunei dan Malaysia akan dilanjutkan selama 15 hari lagi, lapor Xinhua.
Penggantungan sementara kemasukan warga asing melalui darat dan pelabuhan laut, termasuk transit melalui Brunei, dilanjutkan selama 15 hari lagi sehingga 15 Januari 2022, kecuali untuk perjalanan masuk dan transit yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Terletak di Asia Tenggara, di barat laut Kalimantan, Brunei berkongsi sempadan darat dan laut dengan negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia.
Sementara itu, berdasarkan penilaian risiko kementerian kesihatan terhadap pandemik COVID-19 di peringkat serantau dan global, Brunei mengumumkan penggantungan sementara perjalanan ke dan dari lapan negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dibatalkan.
“Pertimbangan untuk masuk dan keluar bagi perjalanan penting dari Brunei Darussalam ke negara-negara yang disebutkan di atas kini dibenarkan, berkuatkuasa Sabtu, 1 Jan , 2022,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.
Menurut pejabat itu, syarat pertimbangan perjalanan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada semakan Jawatankuasa Pemandu COVID-19 dari semasa ke semasa.
Brunei melaporkan lima kes baharu COVID-19 yang disahkan pada Khamis, termasuk tiga jangkitan tempatan dan dua kes import, menjadikan jumlah keseluruhan 15,470.
Menyedari bahawa lapan kes varian Omicron telah dilaporkan, Menteri Kesihatan Dr Haji Mohd Isham berkata tidak perlu panik kerana kes itu terkawal.
Sehingga 29 Dis, kira-kira 95 peratus penduduk Brunei menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala 93 peratus melengkapkan vaksinasi dua dos dan kira-kira 20 peratus menerima dos ketiga.
Setakat ini, negara itu mencatatkan 98 kes aktif masih dirawat dan 100 kematian.
— BERNAMA