SANDAKAN : Seorang warga emas ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Kapur, Jalan Ulu Dusun, Batu 28 di sini tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tu melalui talian MERS999 lebih kurang pukul 12.41 tengah malam.
Katanya, sepasukan bomba diketuai Pegawai Operasi, PBKII KUP Saidha Yulius tiba di lokasi kejadian yang terletak sejauh 45 kilometer Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.
Berdasarkan laporan awal, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×40 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
Mangsa warga emas perempuan berusia 84 tahun yang ditemui rentung itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan 200 kaki dan sumber air dari jentera bomba.
Operasi ditamatkan pada pukul 3.17 pagi selepas pasukan bomba selesai melakukan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada sebarang kemerbahayaan lain.