Warga Emas Hilang Ditemui Meninggal Dunia Selepas 6 Hari SAR

KOTA BELUD: Misteri kehilangan seorang warga emas di Kampung Tambulion Laut di sini berakhir dengan penemuan mayat mangsa hari ini, selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mangsa, Minun Kasim, 83, ditemui meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi di kawasan pertanian Tambulion Luminodip, kira-kira 1.7 kilometer dari pusat kawalan tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, mangsa ditemui oleh pasukan bomba dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA serta penduduk kampung.

Menurutnya, operasi SAR hari keenam melibatkan pencarian di tiga sektor utama termasuk kawasan tepi Sungai Wariu, kawasan pertanian serta sepanjang Sungai Kuala Abai hingga ke persisiran pantai.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran membawa keluar mangsa berikutan kawasan paya serta paras air sungai yang dalam dan berarus deras.

“Laluan alternatif melalui kebun sawit terpaksa digunakan dengan bantuan kenderaan utiliti Vigo bomba sebelum mangsa dibawa ke jalan utama dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi SAR membabitkan seramai 12 anggota BBP Kota Belud dengan sokongan Unit K9, Unit Drone serta agensi keselamatan lain dan orang awam.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat.