Warga emas ditemukan lemas selepas cari pucuk nipah

BELURAN : Seorang warga emas ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mencari pucuk nipah di sekitar muara sungai Kampung Air, Beluran, di sini semalam.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata, mangsa dikenali sebagai Damat Anggah, 80, ditemui pihak pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

kira-kira jam 11.45 malam tadi lebih kurang 10 meter daripada lokasi dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar menaiki perahu untuk mencari pucuk nipah kira-kira 1.5 kilometer ke lokasi dari jeti kampung berkenaan sebelum penduduk kampung melaporkannya hilang.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.51 petang semalam kemudiannya menghantar enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Edoen berkata, setiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan berhampiran bot mangsa di tepi sungai dengan kaedah mencari di kawasan permukaan menggunakan bot orang kampung.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di kawasan SAR, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 1.00 pagi tadi,” jelas Edoen.