Lapan lelaki ditahan terlibat judi sabung ayam

TAWAU : Lapan lelaki termasuk tiga warga asing ditahan disyaki terlibat dengan kegiatan judi sabung ayam di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit, Jalan Tawau-Kunak, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lima lelaki tempatan serta tiga lelaki warga asing berumur dalam antara 25 hingga 61 tahun termasuk seorang warga emas berusia 71 tahun turut ditahan.

Katanya, serbuan dilakukan kira-kira jam 12.50 tengah hari membabitkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Dalam serbuan tersebut, polis merampas lapan ekor ayam jantan  dipercayai digunakan untuk kegiatan judi laga ayam gelanggang.

“Turut dirampas, peralatan laga ayam serta wang tunai berjumlah RM1,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jasmin berkata, polis memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian seumpamanya.