LABUAN : Hampir 10,000 pengunjung membanjiri Labuan Motor Day (LMD) 1.0 termasuk membabitkan peminat aktiviti permotoran dari Negeri Sarawak, Negara Brunei Darussalam serta semenanjung Malaysia.
Pesta berlangsung selama tiga hari diadakan di kawasan tempat Letak Kereta Medan Selera berjaya mengimpunkan lebih 3,000 peserta penunggang motosikal.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, penganjuran LMD 1.0 disifatkan sebagai program sangat berjaya sekali gus memberikan impak positif kepada industri pelancongan khususnya di Labuan.
Katanya, program LMD 1.0 ini merupakan antara daya tarikan orang ramai datang berkunjung sekali gus disifatkan paling berjaya dalam sejarah penganjurannya.
“Wilayah Peesekutuan Labuan sangat memerlukan program yang memberikan impak positif seumpama ini sekali gus mampu meningkatkan ekonomi pelbagai sektor serta peniaga khususnya di kawasan ini.
“Kita menjangkakan hampir 10,000 orang pengunjung hadir dalam program selama tiga ini sekali gus menjadikan program ini menjadi daya tarikan utama pelancong datang ke Labuan,” katanya hari ini.
Simsudin berkata, beliau berharap program ini akan dapat dijadikan acara tahunan yang mampu menarik lebih ramai peminat sektor permotoran khususnya dari kepulauan borneo untuk datang berkunjung ke Labuan pada masa depan.
Program selama tiga hari ini menyediakan pelbagai aktiviti termasuk gerai Jualan vendor baju tshirt kelab permotoran, pameran pelbagai jenis kereta dan motosikal.
Selain itu beberapa pertandingan dijalankan termasuk motor perlahan, pasukan paling ramai serta pasukan paling sporting.
Pihak penganjur menyediakan empat motosikal sebagai hadiah utama untuk cabutan bertuah kepada pengunjung termasuk acara persembahan pentas kumpulan artis dari Sabah dan Labuan.
Turut hadir, Pengerusi Penganjur FA Crew Advanture, Mohd Shahridzs Osman @Awang.