Wanita UMNO perlu fokus kepada usaha kukuhkan parti – Noraini

SANDAKAN : Wanita UMNO Sabah di semua peringkat perlu fokus kepada usaha memperkukuhkan parti selain terus membela rakyat, kata Ketuanya Datuk Noraini Idris.

Beliau berkata untuk tempoh kurang dari dua tahun dari sekarang parti akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan lebih awal dari tempoh yang sepatutnya iaitu tahun 2025.

Noraini bersama Hazulizah Md Dani merakamkan gambar kenangan bersama AJK Wanita Umno bahagian Batu Sapi.

Katanya dalam keadaan apa pun Wanita UMNO sebagai jentera barisan hadapan parti perlu siap siaga dari sekarang tanpa menunggu saat-saat akhir baru menyusun jentera dan gerak kerja.

“Fokus utama Wanita UMNO kini adalah kepada membantu rakyat dan memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif menang dalam PRN nanti,” katanya pada  perjumpaan bersama Wanita UMNO bahagian Kinabatangan sempena program Jelajah Wanita UMNO Sabah di Kinabatangan, baru-baru ini.

Noraini menerima cendera kenangan dari Ketua Wanita UMNO bahagian Beluran selepas mendengar taklimat dari bahagian tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara dalam rangka lawatan kerja Jelajah Wanita UMNO Sabah ke Zon 5  turut mengadakan perjumpaan bersama Wanita UMNO bahagian Batu Sapi, Libaran, Sandakan dan Beluran.

Dalam pada itu Noraini yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berharap gerak kerja jentera Wanita UMNO perlu diubah mengikut peredaran zaman bukan lagi dengan kaedah lama yang ternyata kurang menarik sokongan rakyat kepada parti itu terutamanya generasi muda.

Beliau berkata, sekarang ini sayap parti itu perlu  melihat setiap maklumat perlu disampaikan melalui hujung jari bukan sahaja berkempen dari rumah ke rumah.

“Di peringkat Wanita UMNO Sabah, kita akan kaji dan akan ubahsuai  gerak kerja dan pendekatan dalam menyediakan maklumat parti seperti  facebook, TikTok.

“Bayangkan, kita ada sejuta lebih ahli Wanita yang cekap bermain media sosial, saya fikir kita akan adakan tentera siber wanita yang kuat atau jentera yang boleh turun untuk berkempen melalui media sosial,” katanya

Walaupun begitu, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Penampang berkata , kempen rumah ke rumah tetap diadakan juga tetapi di kawasan tertentu sahaja seperti kampung, desa dan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian internet.

Manakala kempen secara talian pula ditumpukan pada Kawasan bandar sepertimana dilakukan oleh parti lain, katanya.

Mengenai tahap persediaan jentera Wanita UMNO dalam sesi taklimat semasa program jelajah di beberapa bahagian UMNO sebelum ini, Noraini berkata beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang ada, bagaimanapun tahap kesiapsiagaan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa khususnya dalam menghadapi PRN yang semakin hampir ke penghujungnya.