KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan syarikat yang dilantik dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, mampu melaksanakan projek berkenaan.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui proses pembinaan LPB di Sabah amat lambat berbanding di Sarawak.
Katanya, Anwar mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof agar memantau dan memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar.
“Pastikan kontraktor yang dilantik berwibawa, mampu melaksanakan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Shafie juga menyebut tiada langkah membasmi masalah kemiskinan untuk lapan daerah di Sabah dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu.
Katanya, peruntukan sebanyak RM393.8 bilion sepatutnya merangkumi aspek yang benar-benar diperlukan khususnya melibatkan negeri Sabah.
“Saya harap kewangan begitu besar harus disalurkan kepada sektor-sektor yang amat memerlukan. Contohnya, peruntukan untuk sekolah rendah dan menengah ada… Tapi sebahagian besar apabila saya lihat ia berada di Semenanjung, di Sabah mana?
“…. yang ada pun saya tengok sekolah-sekolah rendah, yang ada masih berpapan. Kalau pergi Kota Belud, ia tidak jauh dari Kota Kinabalu,” jelas Mohd Shafie.
Mohd Shafie berkata, perhatian perlu diberi kepada kawasan bandar dan luar bandar dalam usaha membangunkan negara.
Beliau menambah, peruntukan sedia ada perlu dimanfaatkan untuk kemudahan bekalan elektrik dan jaringan internet di kawasan luar bandar khususnya.
“Kalau kita nak wujudkan sekolah, belanjalah sebanyak mungkin bukan hanya tandas, bukan perbelanjaan komputer tapi penyediaan bekalan elektrik… kita bagi tablet, tapi elektrik tidak ada, jaringan internet tidak ada,” kata Mohd Shafie