MPS perlu beri penjelasan berhubung penilaian semula cukai pintu

SANDAKAN : Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) perlu memberi penjelasan secara jujur dan telus kepada penduduk berhubung penilaian semula kadar cukai pintu yang akan bermula tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata kurangnya komunikasi daripada MPS telah mengakibatkan penduduk salah faham dan mendapat maklumat yang tidak benar.

MPS perlu beri penjelasan berhubung penilaian semula cukai pintu.

Katanya ini kerana kenyataan dikeluarkan oleh wakil rakyat dan paparan berita di media hanya tertumpu mengenai kenaikan cukai pintu semata-mata.

“MPS mesti menjelaskan kepada rakyat mengenai keadaan sebenar yang mana nilai hartanah di Sandakan tidak pernah dinilai semula sejak tahun 1994.

“MPS tidak boleh lagi mengenakan cukai pintu berdasarkan kadar yang ditetapkan 29 tahun lalu jika rakyat mahu MPS berfungsi dengan baik dan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus MPS bersama Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam serta semua ketua jabatan MPS di sini, yang membincangkan mengenai cadangan penilaian semula cukai pintu di Sandakan.

Beliau berkata, MPS tidak memberikan penjelasan kepada rakyat sekaligus menyebabkan mereka hanya memahami terdapat kenaikan kadar cukai pintu, sedangkan kadar itu sebenarnya bergantung kepada nilai hartanah di setiap kawasan.

“Sebagai contoh, kawasan Bandar Ramai-Ramai serta rumah kediaman berhampiran Bandar Sandakan akan ada penurunan kadar cukai pintu jika kadar yang baru disemak itu dikenakan tahun depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata MPS juga telah membuka peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan borang bantahan sekiranya penilaian cukai pintu mereka adalah tidak munasabah.

Untuk rekod, kira-kira 100 bantahan telah diterima setakat ini dan MPS akan menetapkan sembilan hari bermula minggu depan untuk mengadakan pertemuan bersama mereka yang membantah untuk membincangkan dan mengkaji kes itu dengan lebih lanjut.

Dalam mesyuarat itu, George turut mencadangkan agar MPS memberi kelonggaran dengan mengenakan bayaran secara ansuran kepada pemilik terutama pemilik kedai yang berdepan kenaikan drastik dalam kadar cukai pintu mereka.

“Kerajaan memahami rakyat terkejut dengan perkembangan ini kerana banyak perniagaan masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19. Bagaimanapun, MPS akan memastikan kenaikan kadar taksiran berada dalam kadar munasabah,” katanya.

Sehubungan itu, George berkata MPS perlu mengadakan sesi townhall bersama penduduk setempat serta persatuan pengguna dan perniagaan di Sandakan bagi menjelaskan mengenai isu cukai pintu.

Sementara itu, Presiden MPS Henry Idol telah menyerahkan memorandum yang mengandungi kesemua bantahan yang telah dikemukakan oleh penduduk kepada Joachim.

George berterima kasih kepada Joachim yang telah mengambil tindakan segera dan hadir ke Sandakan sendiri untuk bermesyuarat susulan isu cukai pintu yang menimbulkan kegusaran rakyat.