KOTA KINABALH: Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) mahu menyediakan pelan perniagaan kukuh untuk melancarkan operasi syarikat penerbangannya nanti sekali gus mengambil iktibar berkaitan penggantungan operasi MYAirline di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Kenny Chua berkata pihaknya tidak mahu mengambil sikap mudah akan mengambil kira risiko keadaan ekonomi selain isu pertukaran nilai mata wang asing yang menjejaskan operasi beberapa syarikat sebelum ini.
Katanya, pelan perniagaan perlu dibuat namun beliau tidak dapat memberikan garis masa penubuhan syarikat penerbangan Sabah yang sebelum ini disasar pada tahun depan.
“Mungkin makan masa sehingga lima tahun akan datang atau kita pun tak tahu (bila) sebab itu rancangan jangka panjang.
“Apa yang berlaku pada MYAirline disebabkan masalah kewangan. Itu sebab kenapa kita perlu ada pelan perniagaan yang dirancang sebaik-baiknya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chua mengulas berkaitan pengantungan operasi sementara secara serta-merta MYAirline Pada 12 Okt lalu, akibat “cabaran kewangan yang signifikan”.
Tindakan itu menjejaskan kira-kira 125,000 penumpang dan mengakibatkan kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac tahun depan.