TAWAU : Seorang wanita tempatan ditahan bersama beberapa peket dadah dalam satu operasi cegah jenayah di sekitar kawasan Merotai Besar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek seorang wanita berumur 29 tahun ditahan pada jam 1.20 petang sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika menjalankan rondaan cegah jenayah.
Katanya, ketika rondaan cegah jenayah, pihak polis melihat kelibat seorang wanita berada di hadapan sebuah kedai berada dalam keadaan mencurigakan.
“Siasatan dan pemeriksaan awal oleh anggota Polis wanita, suspek telah menyerahkan sebuah beg kecil digantungkan pada seutas rantai yang dipakai oleh suspek.
“Hasil pemeriksaan di dalam beg tersebut pihak polis menjumpai lapan peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih di syaki dadah jenis syabu seberat 0.86 gram,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Jasmin berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu dalam perkembangan sama, anggota Polis dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Brumas memberkas seorang lelaki tempatan kurang 24 jam dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk rumah seorang pengurus kontrak di sekitar kawasan perumahan pekerja Batu 5, Brumas Tawau.
“Kira-kira jam 2.50 petang sepasukan Polis dari Pondok Polis Brumas bersama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad terserempak seorang lelaki mencurigakan di tepi jalan sekitar kawasan Brumas, ketika pihak Polis mendekati suspek cuba bertindak melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan.
“Hasil siasatan awal suspek telah membawa Polis ke sebuah tempat barang yang telah dicuri yang telah diletakkan dihadapan sebuah stor parkir berhampiran perumahan pekerja di kawasan tersebut,” jelas Jasmin.
Menurutnya, suspek warga asing berumur 24 tahun bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Sebelum itu, pada hari yang sama satu laporan Polis telah dibuat oleh mangsa pada jam 9.00 pagi yang mengatakan rumahnya telah dipecah masuk.
“Mangsa mendapati sebanyak tujuh buah unit sinki jenis aluminium dan 11 batang bingkai jendela jenis aluminium telah hilang dipercayai dicuri oleh orang yang tidak dikenali,” kata Jasmin.