Wanita maut, 5 cedera selepas 3 kereta bertembung

TAWAU: Seorang wanita maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan tiga kenderaan bertembung di Kampung Nasip Kita – Jalan Apas, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen Jr berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan Toyota Vios dan sebuah Proton Saga.

Katanya, mangsa yang maut berumur 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Manakala lelaki berumur 27 tahun yang memandu Toyota Vios mengalami cedera patah kaki kiri.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.57 petang.

Sejurus itu, sepasukan tujuh anggota dari BBP Tawau bersama jentera dan unit EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua Toyota Vios dan sebuah Proton Saga bertembung.

“Terdapat tujuh orang mangsa terlibat dalam kemalangan iaitu empat mangsa (3 lelaki, 1 wanita) dalam kenderaan Proton Saga mengalami kecederaan dan seorang mangsa lelaki di kenderaan Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala dua orang mangsa di kenderaan sebuah lagi Toyota Vios iaitu seorang mangsa lelaki mengalami cedera dan seorang mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, semua mangsa yang mengalami kecederaan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian serta dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans dan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.44 petang.