Wanita GRS sokong had tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah dua penggal

KOTA KINABALU : Wanita Gabungan Rakyat Sabah ( GRS) bersetuju dengan had tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal selepas Pilihan Raya Negeri akan datang.

Ketuanya Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata Wanita GRS berpandangan bahawa dalam 3 tahun ini prestasi Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri begitu cemerlang dan menyakin.

“Pelbagai projek pembangunan telah diadakan dan sedang dirancang untuk rakyat Sabah”, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata beberapa bulan lalu, Hajiji telah mengadakan majlis pecah tanah di tapak projek di Kogopon LRA, Papar untuk meningkatkan kapasiti air daripada 40 juta liter air sehari (MLD) kepada 80MLD dan akan disiapkan pada 2026, yang juga bermakna isu bekalan air di Putatan dan Papar akan selesai dalam dua hingga tiga tahun.

Katanya selain bagi menangani isu air di daerah lain, sebuah empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion sedang dibina di Ulu Padas, Tenom, sebagai penyelesaian jangka panjang.

Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan projek itu dan empangan itu akan siap pada 2027.

“Wanita GRS percaya lebih banyak pembangunan akan dibawa oleh Hajiji sebagai menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Mengenai cadangan untuk menaikkan martabat Pembantu Menteri dengan menamakan mereka sebagai Timbalan Menteri dan menambah bilangan kementerian sebanyak tiga kepada 14, Azizah berkata Wanita GRS berpandangan sudah tiba masanya nama jawatan itu dimartabatkan, selain menambah kementerian yang baharu melihat keadaan di Semenanjung ada kementerian pendidikan, wanita dan kesihatan.

Justeru, katanya, Wanita GRS mencadangkan agar salah satu Kementerian baharu nanti ialah Kementerian Hal-ehwal dan Pembangunan Wanita.