KUALA LUMPUR: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bakal melaksanakan pemasangan sistem penyimpanan tenaga melalui bateri berkapasiti 100 megawatt (MW) sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah catuan bekalan elektrik di Sabah.
Pengerusi SESB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau memaklumkan, perkara itu telahpun diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia.
“Kami di SESB berharap Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) akan mempertimbangkan keputusan ST tersebut secara positif demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Sebagai makluman, stor penyimpanan bateri (BESS) ini akan menyimpan tenaga elektrik yang tidak digunakan semasa bukan waktu puncak iaitu tenaga yang tidak digunakan sekitar pukul 12 tengah malam hingga jam 7 pagi.
“Bekalan tenaga ini akan menjadi backup untuk menampung keperluan permintaan tinggi pengguna pada waktu puncak terutamanya pada musim cuaca panas atau atas faktor-faktor lain yang berkaitan termasuk sekiranya berlaku sistem rosak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Bajet 2024 pada sesi Parlimen Dewan Rakyat Selasa lepas.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata beliau dan wakil-wakil rakyat dari Sabah sudah sekian lama berhujah di Dewan Rakyat bahawa Sabah adalah satu-satunya wilayah di Malaysia yang masih mengalami catuan bekalan elektrik.
Katanya keadaan ini berlaku kerana kapasiti penjanaan sedia ada yang rendah iaitu dengan reserve margin di bawah paras 1 peratus.
“Margin rizab ini bermaksud stok tenaga elektrik untuk kegunaan semasa kecemasaan terutama apabila berlakunya sistem rosak atau sekiranya berlaku permintaan yang tinggi melebihi kebiasaan dalam kalangan pengguna elektrik.
“Sehubungan dengan itu, setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia di atas keputusan meluluskan pemasangan 100MW kapasiti simpanan bateri ini,” katanya.
Namun demikian, beliau berkata, langkah ini adalah bersifat sementara dan tentunya tidak dapat menyelesaikan masalah Margin Rizab yang rendah.