KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegur sikap beberapa Ahli Parlimen dari Blok Pembangkang dan Kerajaan yang menggunakan sentiman agama dan kaum dalam sesi perbahasan mereka sebagai satu budaya yang perlu dihentikan.
Katanya Ahli Parlimen yang berjumlah 222 orang adalah mewakili kira kira 36 juta rakyat Malaysia ,bermakna Ahli Parlimen yang ada adalah mereka yang terpilih mewakili rakyat Malaysia justeru katanya ketika berbahas janganlah menimbulkan provokasi yang melampau sehingga menyentuh soal agama dan kaum.
“ Kita menjadi tontotan dan perhatian oleh rakyat Malaysia malah seluruh dunia, yang seharusnya menjadi teladan kepada semua pihak ,perbuatan atau perbahasan yang menyentuh sensitiviti terutama agama boleh menjejaskan keharmonian kaum yang perlu dielak semasa berbahas,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2024 di Parlimen, kelmarin.
Katanya, ucapan kafir mengkafir perlu dielak , sebaiknya Ahli Parlimen perlu berbahas dengan berhemah tanpa menguris perasaan orang orang.
“ Dalam soal agama Islam mungkin pengetahuan saya masih agak kurang, tapi dalam al quran pun disebut dalam surah Al Kafirun “Untukmu agamamu dan untukku agamaku” sebagai umat muslim yang shaleh, kita dianjurkan untuk mengormati kepercayaan orang lain, justeru hentikanlah perbahasan yang boleh memecah belahkan keharmonian kaum,” tegas Bung Moktar.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, sudah 66 tahun negara merdeka, bebas hidup dalam negara demokrasi, bebas ke mana sahaja, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.
“ Ini tidak bermakna kita juga bebas melakukan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan yang sudah enam dekad dipupuk.
“Belum cukupkah pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969, insiden rusuhan kaum yang sepatutnya sudah banyak mengajar kita erti perpaduan dan seharusnya menjadi iktibar bagi mengelakkan negara kacau bilau dan musnah akibat sengketa sesama kita, rakyat Malaysia” tambah Bung Moktar.
Bung Moktar berkata dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, tolak ansur perlu diutamakan, bukannya mementingkan masa depan politik parti atau mahu menjadi hero kerana bimbang kalah dalam pilihan raya.
“ Sebab itu kita selepas pilihanraya umum (PRU) ke 15 kita membentuk Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong dengan harapan konsep perpaduan dalam negara yang pelbagai agama dan bangsa dapat disatukan untuk membangun negara yang tercinta,” katanya.
Menurut Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, jika rakyat Malaysia terus berpecah belah dan pemimpin gagal menunjukan contoh yang terbaik kepada rakyat keharmonian dan keamanan gagal dicapai dan ini sudah tentu membantutkan usaha untuk terus memacu pembangunan dan ekonomi negara.