LABUAN: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjayakan Program TownHall Bicara Perpaduan untuk memupuk perpaduan yang memanfaatkan 600 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL pada Rabu lalu.
Program kerjasama UMSKAL sebagai platform bagi pelajar, fakulti dan tetamu terkemuka untuk terlibat dalam perbincangan yang membina, berkongsi pandangan dan bekerjasama mencapai matlamat bersama.

Program itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan komunikasi terbuka, pemahaman dan perpaduan dalam kalangan komuniti akademik.
Terdahulu diadakan taklimat kenegaraan bertajuk “Merdekakah Kita? Di mana letaknya Patriotik Kita” yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa.

Seterusnya sesi TownHall menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Profesor Kehormat di Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Arsiah Bahrun @ Bahron yang dikendalikan moderator, Hashimah Hassan.
Hadir sama Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penolong Pengarah J-KOM Sabah Dr Diana Dominic, Ketua Pentadbiran UMSKAL Zamri Haji Mohd Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL Mas Adi Alimin.
Turut diadakan Majlis Tandatangan Surat Niat antara Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Prof Madya Dr Geoffrey dan Pengarah J-KOM Zon Sabah, Milus Alu@And Wahad.
Majlis Tandatangan Surat Niat diadakan untuk penyelidikan dan pembangunan dalam konteks perpaduan dan komunikasi dengan dana peryelidikan permulaan sebanyak RM5,000.
Menerusi program itu, ia memberi pelajar peluang untuk menyuarakan kebimbangan dan pendapat mereka mengenai perkara-perkara penting di peringkat negara dan tempatan.
Selain itu, interaksi langsung ini meningkatkan pemahaman mereka terhadap isu-isu dunia sebenar dan mendorong penyertaan aktif dalam membentuk masa depan negara.
