RANAU: Seorang wanita terpaksa dibawa turun selepas mengalami sakit gastrik semasa melakukan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu, di Kilometer 3.3 Mempening, Summit Trail, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 pagi untuk membantu menurunkan mangsa yang berumur 45 tahun.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR) seramai lima orang bergegas ke lokasi dan memberi rawatan awal kepada mangsa.
Mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan pengusung oleh pasukan MOSAR serta dibantu bersama malim gunung dan pasukan Park SAR.
Mangsa diserahkan kepada pasukan EMRS dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 1.40 petang.