Vivian sumbang minyak petrol kepada pasukan penyembur kabus (fogging) Pejabat Kesihatan Sandakan

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong telah menyumbangkan minyak petrol kepada pasukan penyembur kabus (fogging) Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan sebagai usaha dan langkah bersama dalam mencegah penyebaran demam denggi.

Katanya, beliau peka dan sedar akan tanda-tanda peningkatan wabak demam denggi di Sandakan dan dalam masa yang sama jabatan itu memaklumkan telah kehabisan bekalan peralatan berkaitan penyemburan nyamuk aedes.

Justeru, beliau menyumbangkan petrol yang merupakan salah satu bahan diperlukan bagi kerja-kerja penyemburan kabus.

Katanya sumbangan menggunakan dana Ahli Parlimen itu atas keperluan semasa yang diperlukan untuk rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Vivian menyeru penduduk Sandakan untuk sentiasa peka dan memastikan kebersihan sekeliling rumah semasa musim hujan bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes.

“Penyemburan kabus mencegah pembiakan nyamuk Aedes bukanlah penyelesaian jangka panjang.

“Hanya dengan kesedaran semua pihak memusnahkan tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, kita boleh menghentikan pembiakan nyamuk.

“Ini sekaligus dapat memastikan diri dan keluarga terhindar dari jangkitan demam denggi,” katanya.

Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan juga menyatakan cara terbaik untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes adalah dengan memastikan tempat yang boleh menampung air di rumah kekal kering dan sentiasa bersih.