KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan tiada individu yang mengalami gejala sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik lombong di Bukit Mantri di Balung, Tawau.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan sememangnya terdapat aktiviti perlombongan emas di lokasi tersebut yang telah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan kepada hasil laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Katanya, penggunaan Sianida untuk mengekstrak emas adalah secara tertutup dan pelupusannya adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau telah membuat siasatan serta verifikasi berkenaan aduan ini. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan berlaku.
“Kesemua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes berkenaan keracunan Sodium Cyanide. Hasil siasatan dan pemeriksaan di kawasan kampung sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala.
“Dua petugas PKK Tawau juga telah menjalankan pemantauan bersama JPASS dan mendapati tidak ada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Tawau terutama Kampung Balung Cocos,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai maklumbalas berita dikeluarkan Sabah News Today mengenai penduduk alami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik kegiatan lombong haram di Bukit Mantri, Balung, Tawau.
Menurut beliau, pencemaran Sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air yang mana ia boleh memberi kesan kesihatan negatif kepada kepada individu yang terdedah.
Jelasnya, kesan khusus keracunan Sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan.
“Pihak JKNS ingin menasihati semua penduduk yang mempunyai gejala berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik kesihatan atau hospital berdekatan.
“JKNS bersama dengan agensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan penduduk Daerah Tawau,” jelasnya.