KOTA KINABALU: Akaun Satelit Pelancongan Serantau (RTSA-Regional Tourism Satellite Account) Sabah dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengukur sejauh mana prestasi sektor pelancongan negeri Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Christina Liew berkata sedia maklum bahawa, pelancongan di Negeri Sabah adalah satu daripada sumber utama ekonomi negeri dan merupakan salah satu antara tiga teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya data melalui RTSA ini juga adalah inklusif yang merangkumi tinjauan dari pelbagai aspek termasuklah aktiviti dan tarikan utama pelawat yang melancong di negeri ini.
“Hasil dapatan daripada RTSA Sabah ini amat penting dalam menentukan prestasi pelancongan Negeri Sabah serta digunakan dalam pembentukan dasar dan polisi bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Sabah,” katanya ketika melancarkan Penerbitan RSTA Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menterinya Datuk Joniston Bangkui.
Christina menyifatkan dengan penghasilan penerbitan ini akan dapat membantu banyak pihak antaranya pihak kerajaan, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dalam merangka dan merancang pembangunan industri pelancongan di Sabah.
Dalam pada itu, beliau berkata melihat kepada prestasi ketibaan pelawat pada sepanjang sembilan bulan yang lalu, Sabah dijangka mencapai 2.5 juta ketibaan pelawat pada hujung tahun ini dimana akan melebihi sasaran awal iaitu 2.2 juta orang.
Katanya, bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif sebagai usaha promosi dan pemasaran dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarbangsa pada pasca pandemik Covid-19.
Justeru, katanya, usaha untuk mengembangkan rangkaian udara terus menjadi agenda terpenting pada tahun ini dengan pelbagai insentif dan insiatif yang dirancang sebagai usaha untuk menyokong dan mengalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu mahupun mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah.
Beliau berkata setakat ini Sabah menerima sebanyak 384 penerbangan domestik dengan 63,519 kapasiti tempat duduk setiap seminggu.
Katanya bagi penerbangan antarabangsa, sebanyak 105 penerbangan terus ke Kota Kinabalu dalam Seminggu dengan 18,962 kapasiti tempat duduk.
“Jumlah penerbangan ini meliputi 86.3 peratus bagi penerbangan domestik dan 44.5 peratus bagi penerbangan antarabangsa terus ke negeri Sabah semasa pra-pandemik,” katanya.
Christina berkata dengan jumlah penerbangan yang sedia ada sekarang, setakat Oktober lepas negeri Sabah telah menerima kedatangan pelancong sebanyak 2.1 juta orang dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM4.42 bilion.
Beliau yakin negeri Sabah mampu mencapai sasaran dan akan mempergiatkan momentum pemulihan ini pada tahun hadapan.