Ustaz Abdul Somad dilantik sebagai Profesor Adjung UMS

LABUAN: Tokoh Ulama tersohor, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Majlis penyerahan watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor UMS, Prof Dr. Shahril Yusof mewakili Naib Cancelor UMS Datuk Dr Kasim Mansor kepada Ustaz Abdul Somad dalam satu majlis ringkas di bilik persidangan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dekat sini, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Dekan Fakulti Islam UMS Prof Dr Mohd Dahlan A. Malik dan Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Mohammad Rizal Abdul Hamid.

Terdahulu, Shahril dalam ucapannya berkata, pelantikan Prof Dr Abdul Somad merupakan satu pengiktirafan diatas pencapaian cemerlang serta sumbangan yang tidak ternilai yang diberikan dalam bidang Pengajian Islam dalam dan luar negara.

“Profesor Dr Abdul Somat bukan sahaja merupakan seorang cendekiawan yang ulung tetapi juga seorang pemifikir yang berdedikasi kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pendidikan di saentero dunia baik melalui media sosial mahupun ceramah secara bersemuka.

“Oleh itu, pelantikannya sebagai Profesor Adjung bukan sekadar satu penghormatan peribadi tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik yang telah beliau capai,” katanya.

Shahril berharap Ustaz Abdul Somad dapat membantu UMS dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan di Fakulti Pengajian Islam.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata, pihak kerajaan negeri dan juga UMS amat berbesar hati atas penerimaan Ustaz Abdul Somad sebagai Prof Adjung Fakulti Islam UMS.

“Ini satu penghormatan bagi negeri Sabah dan negara khususnya… semoga pelantikan Profesor Dr Abdul Somad akan memberi inspirasi kepada semua warga universiti khususnya para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan khususnya dalam pendidikan dan dakwah,” kata Mohd Arifin.