Usaha MAFI di Ekspo Dubai wujudkan kerjasama dua syarikat bina 10 kilang pembungkusan terbiodegradasi di Gurun Kedah

GURUN (Kedah): Sebanyak 10 kilang pembungkusan terbiodegradasi baharu akan dibina di Gurun, Kedah menerusi kerjasama dua syarikat hasil padanan perniagaan yang dimulakan oleh Bioeconomy Corporation semasa minggu Pertanian Lestari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Pavilion Malaysia pada EXPO 2020 Dubai pada Februari lepas.

Pembinaan kilang ini menerusi kerjasama Free The Seed Sdn Bhd, sebuah syarikat bioteknologi Malaysia yang mengeluarkan produk terbiodegradasi daripada jerami padi dengan Hotpack Packaging Industries LLC dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kos pembinaan bernilai RM400 juta dalam tempoh 10 tahun.

Sebagai permulaan, Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melakukan majlis pecah tanah pembinaan kilang pertama kilang itu di Gurun, hari ini.

Pembinaan kilang pengeluaran pertama seluas 3,200 meter persegi di kawasan tapak Free The Seed akan bermula pada Mei ini dan dijangka siap pada Ogos ini dan merupakan kilang pertama Hotpack di Asia Tenggara yang dijangka menghasilkan 70 juta unit produk pembungkusan barangan pengguna bergerak pantas dalam setahun.

Berucap pada majlis itu, Ronald berkata MAFI gembira kerana usaha dan komitmen yang dijalankan semasa ekspo Dubai itu telah memupuk kerjasama global yang penting ini, yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab terbiodegradasikan terkemuka di Asia Tenggara.

Katanya pelaburan ini juga dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum meningkat ke 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun bagi tenaga kerja mahir dan separa mahir, serta menghasilkan pembungkusan terbiodegradasi daripada pelbagai jenis sisa pertanian seperti daun nanas dan jerami padi.

“Model mampan dan kitaran seperti ini akan membawa kepada pendapatan yang lebih baik untuk lebih ramai komuniti petani di Malaysia, di samping menarik lebih ramai pelabur asing, melindungi alam sekitar, dan menambah nilai kepada pertanian lestari di Malaysia mahupun UAE,” katanya.

Ronald menambah hubungan diplomatik dan dua hala antara Malaysia dan UAE makin berkembang sejak tahun 1970-an, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Menurutnya perkongsian Hotpack dengan Free The Seed hari ini bakal mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Kepercayaan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Hotpack terhadap syarikat tempatan seperti Free The Seed membuktikan betapa inovatif dan tingginya nilai pertanian Malaysia,” kata Ronald.

Dalam pada itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata Bioeconomy Corporation berbesar hati kerana dapat membantu membawa masuk pelaburan istimewa ini, yang membolehkan Free The Seed meluaskan perniagaan dengan memanfaatkan rangkaian luas Hotpack dan peluang pasaran globalnya.

Katanya kedua-dua syarikat berpotensi untuk membangunkan bersama pelbagai produk terbiodegradasikan untuk akses pasaran yang lebih baik dengan kecekapan kos bagi memenuhi permintaan pasaran global pembungkusan terbiodegradasikan, yang diramalkan melebihi RM713.6 bilion menjelang 2032.