KOTA KINABALU : Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneroka peluang kerjasama dalam bidang sains makanan dan teknologi makanan dalam penyelesaian masalah berkaitan keselamatan makanan di Borneo.
Peluang kerjasama tersebut dibincangkan bersama School of Applied Sciences and Mathematics (SASM) Universiti Teknologi Brunei (UTB), sempena lawatan ke universiti itu baru-baru ini.
Lawatan tersebut antara lain sebagai memenuhi syarat keperluan akreditasi antarabangsa yang diterima FSMP daripada Institute of Food Science (IFT) dan International Union of Food Science and Technology (IuFOST).
Dekan FSMP, Profesor Madya Dr. Hasmadi Mamat berkata, kerjasama tersebut diselaraskan Makmal Penyelidikan Keselamatan Makanan FSMP dan Centre for Research on AgriFood Science and Technology (CrAFT) UTB untuk menjalankan kajian berkaitan.
“Kedua-dua pihak juga menyambut baik cadangan untuk mewujudkan program mobiliti pelajar dan kakitangan ke universiti masing-masing.
“Perbincangan lengkap berkenaan perkara ini akan dilakukan dan diperhalusi dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTB, Dr. Ena Kartina Abd Rahman berkata, kerjasama dalam bidang sains makanan wajar dijalankan bagi menangani masalah keselamatan makanan yang semakin kerap dibincangkan.
“Selari dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangan UTB dan UMS pada tahun 2020, kerjasama dalam bidang keselamatan makanan serta pemakanan sangat penting untuk membantu komuniti terutama di kawasan Borneo,” jelas Ena Kartina.