KOTA KINABALU: Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima Peralatan Penanaman Rumpai Laut daripada Jabatan Perikanan Sabah
di Jeti UMS, kelmarin.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Industri Perikanan dan Pelaburan), Irman Isnain mewakili Pengarah Jabatan Perikanan Sabah.
Hadir sama, Pengarah IPMB UMS Profesor Madya Dr. Faihana Ching Abdullah.
Ia merupakan salah satu aktiviti di bawah memorandum persefahaman yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Jun tahun ini.
Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi satu kenyataan berkata salah satu tujuan penyerahan peralatan penanaman rumpai laut kepada pihak UMS adalah untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara dua agensi bagi memacu penyelidikan berkaitan rumpai laut yang merupakan salah satu industri penting dan berpotensi tinggi di Malaysia.
Selain daripada penyerahan peralatan, satu ladang contoh turut dibangunkan berhampiran dengan jeti UMS.
Jalinan kerjasama di antara Jabatan Perikanan dengan pihak UMS diharap mampu meningkatkan lagi aktiviti penyelidikan rumpai laut di Sabah.
Selaras dengan sasaran Jabatan Perikanan dalam Pelan Sabah Maju Jaya, industri ini disasar untuk membangun dalam semua rantaian nilainya, termasuk pembukaan kawasan kawasan baru, membangun aktiviti huluan dan hiliran serta membangun modal insan dalam industri ini.
Sehubungan itu, UMS berperanan dalam membantu aspek pembangunan modal insan untuk membolehkan industri ini berkembang di masa depan dengan mengambilkira kelebihan perairan negeri ini yang sangat sesuai untuk penanaman rumpai laut.