Keputusan cemerlang SPM jadi platform tuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi

SANDAKAN : Memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menjadi platform untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata memperoleh keputusan SPM yang cemerlang juga akan menjadi tiket yang akan melayakkan seseorang murid untuk meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

Keputusan cemerlang SPM jadi platform tuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, jika murid konsisten cemerlang dalam pelajaran, mereka bukan sahaja berpeluang ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, malah berpotensi ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti dalam atau luar negara dengan penajaan pihak kerajaan atau swasta.

“Kecemerlangan para murid tidak datang bergolek dan amat memerlukan komitmen dan usaha semua pihak. Tahniah dan terima kasih kepada guru-guru yang tidak mengenal putus asa sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti dari segi akademik mahupun sahsiah.

“Tidak lupa juga kepada ibu bapa di atas galakan, didikan serta perhatian terhadap anak-anak sehingga mereka berjaya,” katanya pada Majlis Graduasi Murid Tingkatan 5 Tahun 2023 Sekolah Menengah Sung Siew di Sandakan, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu bertujuan untuk memberi motivasi dan ingatan agar murid-murid dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek intelek dan psikologi untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

Justeru, beliau percaya majlis graduasi tersebut bakal menjadi pembakar semangat kepada murid-murid untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 dengan keyakinan yang tinggi.