KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh pembudayaan ilmu apabila menganjurkan program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit 2026’ secara serentak di tiga kampusnya.
Program anjuran Jabatan Perpustakaan UMS itu turut menyaksikan pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule sebagai platform menghimpunkan aspirasi warga universiti untuk masa depan.
Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik universiti dalam menggalakkan budaya membaca sebagai gaya hidup.
“Transformasi digital ini selari dengan visi universiti untuk memartabatkan teknologi dalam penyebaran ilmu,” katanya.
Menurutnya, program tersebut turut menyokong Dekad Membaca Kebangsaan 2020–2030 dan aspirasi melahirkan masyarakat berilmu.
Program tahunan itu melibatkan aktiviti membaca serentak selama 10 minit bermula jam 11 pagi, selain pengisian tambahan termasuk montaj sejarah dan aktiviti luar seperti di Gunung Kinabalu.
Kapsul masa digital yang dilancarkan akan dibuka semula pada 2035 sempena ulang tahun ke-40 penubuhan UMS.
