UMNO perlu ubah pendekatan bagi bendung trend penolakan pengundi – Bung Moktar

KOTA KINABALU : UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan sebagai sebuah parti politik bagi membendung trend penolakan pengundi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, dimensi baharu mendekati rakyat di peringkat akar umbi perlu dilakukan oleh UMNO bahagian yang tidak seharusnya tertumpu kepada ahli-ahli UMNO atau kelompok tertentu sahaja tapi perlu diperluaskan kepada Masyarakat lain.

Menurut beliau apa yang diperhatikan kebanyakan program seperti  program program ziarah lebih tertumpu kepada ahli-ahli parti yang sudah tentu  tidak dapat memberikan impak dan nilai tambah sokongan rakyat kepada UMNO.

Bung Moktar berkata, selain penyokong tegar UMNO diluar sana masih ada kelompok yang tidak berparti rakyat mereka yang uzur dan tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian  walaupun  berlainan parti, persatuan belia, persatuan ibu tunggal, persatuan persara kerajaan dan  badan-badan NGO lain yang perlu didekati.

“Kita perlu ubah pendekatan dengan dimensi baharu, komuniti ini sudah tentu mempunyai  ahli dan penyokongnya, jika kita dekati dengan berhemah penuh mesra dibantu apa keperluan mereka, tidak mustahil mereka akan  menyokong perjuangan UMNO,” katanya ketika pada majlis amanat UMNO Sabah 2024 di sini,kemarin.

Justeru, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa semua pemimpin UMNO meneliti semula apa yang perlu dilakukan dan bagaimana boleh mengubah trend penolakan pengundi terhadap UMNO.

Menurutnya UMNO kena membawa konsep politik kestabilan ekonomi rakyat, politik membangunkan ekonomi perniagaan seiring dengan cabaran ekonomi  yang merundum ketika ini selain politik mensejahterakan kehidupan rakyat.