LABUAN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Zaliha Mustafa mahu kerja-kerja berkaitan pembaikan paip air di pulau ini disiapkan dan diselesaikan seberapa segera.
Beliau berkata, pihaknya telahpun meminta Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan untuk mempercepatkan kerja kerja projek pembaikan, baik pulih infrastruktur dan penggantian paip air bagi menyelesaikan isu bekalan air bagi menjamin keselesaan rakyat yang ketika ini terkesan gangguan bekalan air yang berpanjangan.
“Saya telah meminta Bahagian Bekalan Air untuk meneliti keperluan jangka masa panjang bagi menyelesaikan semua projek-projek yang berkaitan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan beberapa sesi Turun Padang meninjau projek-projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah pelaksanaan Perbadanan Labuan dan agensi lain di sini, kelmarin.
Katanya, sebanyak tiga projek penggantian paip air sepanjang 70 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM108 juta sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan dapat disiapkan menjelang awal tahun 2025.
“Keutamaan saya adalah untuk menyelesaikan infrastruktur asas terlebih dahulu bagi memastikan keselesaan rakyat Labuan terjamin,” katanya.
Zaliha berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri 2 yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadhillah Yusof untuk berbincang berkenaan isu-isu air dan elektrik dapat diselesaikan.
Jelas beliau, jika perkara perkara asas seperti bekalan air, elektrik dan ketersambungan belum diselesaikan ianya sudah pasti akan membatutkan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan.
Gambar: SERAH… Dr Zaliha menyerahkan secara simbolik Tangki Air untuk kegunaan para pelajar dan guru Sekolah Menengah Sains di sini sempena Program Turun Padang.