Polis diminta siasat dan ambil tindakan dalang fitnah anak Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap dalang yang jelas cuba mengaibkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dengan cara memfitnah kononnya anak beliau terlibat dalam kartel dadah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Paparan dalam media sosial itu bukan setakat palsu, ianya juga satu kesalahan disisi undang-undang kerana secara terang-terangan membuat tuduhan liar bertujuan mencemar nama baik keluarga Ketua Menteri Sabah.

“Tindakan jijik ini jelas bukan saja merupakan usaha menjejaskan imej Ketua Menteri tetapi juga PGRS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh beliau.

“Mungkinkah taktik kotor ini didalangi oleh pihak yang sebelum ini cuba menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui GRS tetapi gagal dan kini sudah ketandusan modal dan terdesak sehingga menyebarkan cerita yang direka-reka demi meraih sokongan politik,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Nizam berkata pihak yang tidak bertanggungjawab ini harus ingat rakyat kini bijak menilai dan sudah pasti akan menolak pihak yang menggunakan taktik kotor dengan cara menyebarkan fitnah.

Katanya melalui laporan polis yang telah dibuat oleh Mohd Reza Hajiji di Tuaran hari ini diharapkan siasatan dapat dijalankan agar dalang tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan.