KOTA KINABALU : Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) akan membuat laporan polis apabila mengaitkan fitnah anak Ketua Menteri Sabah Mohd Reza Hajiji kononnya antara individu yang menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kegiatan kartel dadah di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, fitnah dilemparkan jentera pembangkang terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor termasuk kaum keluarganya dilihat semakin aktif sekali gus sangat keterlaluan.
Katanya, sebelum ini serangan fitnah hanya menyasarkan Ketua Menteri tetapi fitnah kini merebak kepada seluruh kaum keluarganya.
“Jentera pembangkang secara jelas sudah tidak mempunyai modal serta alasan fitnah dilancarkan untuk mewujudkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
“Daripada maklumat yang diterima kebanyakan penyebar fitnah ini merupakan siber trooper yang berbayar secara bulanan dan mereka juga menggunakan akaun media sosial palsu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zulkarnain berkata, hasil tinjauan secara rambang hampir semua penyebar fitnah agak cenderung kepada Parti Warisan dan UMNO di Sabah walaupun perkara ini mungkin tidak disedari oleh kedua pimpinan tertinggi kedua-dua parti itu.
“Fitnah ini sangat tidak wajar kerana membabitkan anak pemimpin tertinggi di Sabah sambil mengaitkan kononnya antara individu yang menjadi buruan polis selepas terbabit dengan kegiatan kartel dadah jelas menunjukkan jentera pembangkang semakin terdesak mencari isu.
“Carta nombor satu sasaran fitnah di Sabah yang pertama adalah membabitkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji, kedua slogan Sabah Maju Jaya, ketiga Tan Sri Musa Aman dan keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas Zulkarnain.