Sembilan orang kurang bernasib baik terima sumbangan AMK Labuan

LABUAN : Seramai 9 orang yang kurang bernasib baik, sakit terlantar dan sakit kronik di Kampung Lubok Temiang menerima sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian pada Program Kunjungan Mesra Warga Labuan anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Labuan pada Sabtu lepas.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut di sempurnakan oleh Setiausaha Politik (Supol) Perdana Menteri Datuk Azman Abidin sempena lawatan kerja Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa.

Hadir sama , Ketua Cabang PKR Labuan yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Kampung Lubok Temiang Mohd Alif Akhbar.

Pada majlis itu pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan yang hadir bersama dalam program tersebut turut menyampaikan bantuan keperluan harian kepada golongan yang disantuni.

Selain itu, Azman yang mewakili Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut menyampaikan dua set lampu solar untuk kegunaan surau Kampung Tanjung Kubong yang terletak di bawah jagaan Ketua Kampung Lubok Temiang.

Azman ketika ditemui media berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan sasar selaras dengan konsep Malaysia Madani yang mengutamakan ukhwah dan ehsan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa.

Justeru itu, katanya, usaha ini diharapkan akan dapat dicontohi oleh semua pihak untuk terus membuat baik dan bantu membantu sesama manusia.