JKR Sabah arah pihak konsesi lakukan kerja pembaikan Jalan Kampung Jaya Baru

KINABATANGAN : Pihak konsesi telah diarahkan untuk menggerakkan pasukan kerja dan jentera kerja mereka ke Kampung Jaya Baru dekat sini bagi melakukan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya agar keadaan jalan lebih selamat untuk digunakan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata pasukan itu digerakkan selepas beliau mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), pagi semalam.

JKR Sabah arah pihak konsesi lakukan kerja pembaikan Jalan Kampung Jaya Baru.

Menurut beliau, jajaran jalan Kampung Jaya Baru tersebut adalah termasuk dalam jajaran lebuh raya Pan Borneo yang akan dinaiktaraf dan dijangka bermula dalam tahun ini.

Jelasnya, keadaan struktur jalan memang sudah uzur dan hanya dapat dipulihkan dengan melaksanakan kerja menaiktaraf secara major (melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo).

“Keadaan cuaca yang basah akibat musim hujan dengan jumlah trafik yang tinggi terus memberi tekanan kepada struktur jalan yang telah lama melebihi had tempoh reka bentuknya (lemah).

JKR Sabah arah pihak konsesi lakukan kerja pembaikan Jalan Kampung Jaya Baru.

“Namun demikian, sementara menanti bermulanya pakej Lebuhraya Pan Borneo tersebut, pihak JKR melalui konsesi yang dilantik diarah untuk melakukan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan berkaitan,” katanya pada Facebook rasmi beliau bagi mengulas situasi jalan rosak di Kinabatangan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri telah meminta Pengarah JKR meminta kerjasama semua jurutera daerah dan jurutera penyelengaraan jalan beserta syarikat-syarikat konsesi penyelengaraan jalan untuk sentiasa proaktif dalam memantau keadaan jalan-jalan di bawah jagaan mereka dari masa ke semasa.

Jelasnya, laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemaskini untuk tujuan pengurusan selain keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ia menjadi kekangan keperluan kerja.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar yang menunjukkan kerosakan teruk jalan raya di Kinabatangan terutama di Kampung Jaya Baru.

Jalan tersebut merupakan laluan utama pengguna jalan raya termasuk pelancong asing yang mahu melawat ke daerah sekitar Pantai Timur melalui jalan darat.