UMNO akan letak calon tawan semula DUN Tempasuk pada PRN17 – Bung Moktar

KOTA KINABALU : UMNO Sabah bersedia meletakan calon boleh menang dalam usaha merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, UMNO juga tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon di DUN Pintasan sekiranya ada calon yang sesuai atau menyokong parti lain yang menyatakan persetujuan untuk bergabung menentang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bung Moktar Radin

Katanya, kedua-dua kawasan ini adalah menjadi sasaran utama bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN akan datang.

“DUN Usukan kita pertahankan..Saya turut mengingatkan agar semua jentera parti perlu bergerak dari sekarang. Ketua-Ketua Cawangan perlu mengenalpasti jumlah ahli parti yang ada di kawasan masing-masing untuk bersiap sedia menghadapi PRN.

“Kita perlu membuat pembersihan terhadap senarai ahli parti yang sudah berhijrah… Kita biarkan mereka pergi UMNO hanya perlu ahli yang berkualiti serta mempunyai prinsip perjuangan sejak dulu hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Iftar UMNO Sabah Zon 1 merangkumi Bahagian Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Tuaran di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag berkata, pucuk kepimpinan kecewa apabila Wakil Rakyat kawasan Tempasuk diletakkan calon bertanding atas tiket UMNO namun kemudiannya berpaling tadah menyertai GRS.

“Demi kerana mengajar kuasa dan kedudukan mereka sanggup mengadaikan prinsip perjuangan serta kesetiaan kepada parti sekali gus meninggalkan UMNO tanpa restu dari penyokong di kawasan mereka wakili.

“Wakil rakyat ini bertanding atas tiket UMNO, menang kerana sokongan jentera parti, tergamak mereka gadaikan perinsip perjuangan…Mari kita pastikan pada PRN akan datang UMNO perlu bangkit merampas semula kerusi yang mereka bawa melompat ke parti GRS,” jelas Bung Moktar.

Menurutnya, UMNO yakin berkaitan isu yang semakin membelanggu kehidupan rakyat membabitkan masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik dapat diselesaikan selepas kembali menerajui kerajaan selepas PRN kelak.

“UMNO perlu susun strategi bekerja secara bersungguh-sungguh untuk memantapkan parti bagi mencapai kejayaan menang dalam PRN akan datang.

“Budaya kerja berpasukanlah dengan corak kerja yang tersusun dari jentera parti perlu dilakukan bermula daripada sekarang jangan tunggu sehingga PRN,” tambah Bung Moktar.