BERA: Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hingga petang Khamis, lebih 70 kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan Ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.
Beliau berkata, kalau di tempat lain, jika jumlah kes positif dikesan melebihi 40, kita sudah arahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini ‘kayangan’ ada imuniti dan kekebalan.
Katanya, sepatutnya, persidangan tidak boleh dijalankan, tetapi kebenaran khas diberikan dengan mengurangkan bilangan seramai 80 orang yang boleh berada di dalam dewan serta memendekkan perbahasan bagi mengelakkan berlaku penularan.
“Sebenarnya, sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula, kita sudah mengadakan mesyuarat dihadiri Speaker dan wakil pembangkang, dan ketika mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memberikan dua cadangan iaitu menangguhkan persidangan dan mengurangkan masa perbahasan serta jumlah kehadiran ahli Parlimen dikurangkan,” katanya.
“Namun,cadangan itu tidak diendahkan dan persidangan diteruskan, yang akhirnya menyaksikan peningkatan kes dikesan.
“Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berdasarkan fakta sains dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepadaketua kampung Charuk Puting, Batu Bor, Guai danPaya Mengkuangdi perkarangan Masjid Al-Mutaqin, Cheruk Puting di sini, hari ini.
Sebanyak 19,372 bakul makanan telah disampaikan di kawasan Bera termasuk semua penduduk kawasan yang dikenakan PKPD.