Tuaran kubu kuat UPKO, dimenangi sejak tahun 1999 – Ewon

KIULU : Tuaran merupakan kubu kuat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)  sekali gus adalah satu-satunya kerusi pilihan raya dimenangi parti sejak 1999 sehingga kini.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, kerusi itu sentiasa dimenangi UPKO melalui calonnya Datuk Madius Tangau dari tahun 1999 hingga 2008 manakala Datuk Wilfred Bumburing 2008 hingga 2013 sebelum diteruskan Madius sekarang kini.

Katanya, ini membuktikan kekuatan UPKO begitu jelas kelihatan sekali gus perlu dikekalkan pada masa depan.

“Kita perlu kekalkan kemenangan di Parlimen Tuaran ini, mudah-mudahan kekuatan itu menjadi motivasi serta inspirasi kepada Bahagian yang lain.

“Sudah tentu kita akan melihat beberapa kawasan lain agar ia akan seboleh-bolehnya mengikut jejak bahagian lain sekali gus dilihat berpotensi menjadi sebagai kubu kuat UPKO yang baharu di masa depan,” katanya, di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, semalam.

Ewon merupakan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi melahirkan penghargaan kepada Madius sebagai Ketua Bahagian UPKO Tuaran, Presiden Kehormat UPKO serta Ahli Parlimen Tuaran terhadap usahanya memperkukuhkan kedudukan UPKO di kawasan Tuaran.

“Parti ini akan terus mencari pendekatan terbaik bagi mengekalkan Tuaran sebagai kubu kuat UPKO disamping memerlukan sokongan besar daripada perwakilan serta para pemimpin akar umbi di Tuaran.

“Apabila kita menggunakan pendekatan progresif, yakinlah rakyat akan memilih kerana pendekatan diplomasi kita. Upko kini tampil dengan pendekatan baharu dan wawasan yang lebih progresif,” jelas Ewon.

Sambil mengalu-alukan penyertaan anak-anak muda Ewon menambah, fokus seterusnya adalah kepada golongan ini yang tidak menyertai mana-mana parti sekali gus di jemput menyertai UPKO.