25.1 peratus rakyat dewasa di negara ini menjalani hidup tidak cukup aktif- Simsudin

LABUAN: Kira-kira 25.1 peratus rakyat direkodkan tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal termasuk 38.1 peratus dikenalpasti mengidap kolestrol serta 30 peratus lagi disahkan menghidap hipertensi di negara ini.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, fenomena ini dilihat sangat membimbangkan sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi melaksanakan pelbagai promosi aktiviti fizikal yang dikhususkan kepada seluruh rakyat didalam tempoh terdekat.

Katanya, selain itu statistik menunjukkan  sejumlah 18.3 peratus lagi adalah dikenalpati sebagai penghidap penyakit diabetes yang membabitkan rakyat di seluruh negara ini.

“Setiap individu mempunyai komitmen untuk mengambil bahagian dalam setiap aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian mereka sekurang-kurangnya mampu mengamalkan senaman dalam tempoh antara 150 hingga 300 minit dalam setiap seminggu.

“Kita yakin melalui aktiviti ini ia akan dapat membantu untuk mengekalkan berat badan seimbang selain  mengurangkan risiko penyakit kronik sekali gus dapat meningkatkan kesihatan mental serta meningkatkan fungsi kognitif agar mencapai kualiti hidup yang sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sini semalam.

Program itu juga mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah Fun Walk sejauh lima kilometer disertai lebih 500 peserta serta aktiviti aerodance, pertandingan memasak sarapan pagi serta pelbagai aktiviti khususnya dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir, Timbalan  Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Mohd Zaki Abd. Hamid serta Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Mohamad Rizal Abdul.