Sabah komited basmi ‘Kemiskinan Tegar di Sabah menjelang 2025 – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri komited menangani isu kemiskinan melalui ‘Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya’ berteraskan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkara ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan miskin tegar di Malaysia berdasarkan pelan yang dilancarkan sebelum ini.

Katanya, secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan digunapakai berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak manakala Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar.

“Bermula 2024 pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan PGK 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742 manakala, PGK meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218.

“Kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) mengambil langkah proaktif dalam memperhalusi definisi kemiskinan tegar melalui 13 indikator tambahan kemiskinan tegar, iaitu pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal ataupun mental serta status pendaftaran kelahiran serta tahap Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan keutamaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong,  Alias Sani dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Mesyuarat Penggal Kelima di sini hari ini.

Hajiji berkata, golongan miskin tegar tidak mempunyai akses kepada kemudahan untuk meningkatkan pendapatan sendiri berdasarkan kepada indikator negeri Sabah termasuk tidak memiliki rumah sendiri, tiada pemilikan tanah untuk diusahakan serta masih mengunakan peralatan tradisional dalam kehidupan seharian dan akses kepada pendidikan.

“Kerajaan Negeri menetapkan locked figure direkodkan dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah melibatkan 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR).

“Kerajaan bergerak dalam program kemiskinan tegar ini melalui data-data tepat diperlukan dalam menyokong kepada bantuan intervensi bersesuaian disalurkan kepada KIR dan AIR yang dikenal pasti.

“Sekretariat SMJ bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Jabatan Perdana Menteri (ICU), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah memulakan kerja verifikasi lapangan data eKasih bagi mengenal pasti padanan bantuan yang bersesuaian kepada golongan miskin tegar di negeri ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, setakat 31 Mac 2024, angka merekodkan penurunan sebanyak 42 peratus mempunyai berstatus miskin tegar iiaadalah seramai 12,555 KIR manakala perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah atau seperti meninggal dunia dan berpindah ke negeri lain.

“Bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, Kerajaan menubuhkan dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang tahun 2024 ataupun 2025,” tambahnya.