KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sebagai menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menyebut kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.
“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya selain itu, ia turut melibatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain berkaitan.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan kerajaan perlu bertindak tegas mempercepat proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dicapai seawal mungkin.
SabahNewsToday