KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah disaran untuk memastikan Pasukan Petugas COVID-19 dapat mempertingkatkan jumlah kadar proses vaksinasi di negeri ini.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, ini kerana tahap vaksinasi dilihat sangat rendah iaitu hanya 30.3 peratus sahaja populasi golongan dewasa di Sabah lengkap dengan dos kedua vaksinasi.
Katanya, pengarah JKNS baru-baru ini dalam satu sesi temu ramah menjelaskan, satu pasukan petugas sudah diwujudkan bagi mempercepatkan program vaksinasi sekali gus mengatasi penularan COVID-19 di Sabah.
“Kita berharap strategi seperti Program Outreach Vaksinasi seperti yang dimaklumkan pengarah JKNS akan merangkumi semua daerah di Sabah khususnya Tawau.
“Bagaimanapun, vaksinasi tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat tidak akan menghasilkan keputusan yang diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api berkata, masyarakat di Sabah harus sentiasa tabah berhadapan dengan musibah ini, meskipun penularan wabak berkenaan dijangka akan terus meningkat dalam beberapa hari atau minggu akan datang.
“Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, adalah penting setiap individu memainkan peranan dengan tidak melanggar SOP ditetapkan oleh kerajaan.
“ ini kerana penularan COVID-19 di Sabah sejak awal Ogos ini sangat membimbangkan berikutan kes harian yang mencapai empat angka.
“Sabah merekodkan kes tertinggi pada 20 Ogos lepas dengan 2,738 kes dan 23 Ogos (2,474 kes) seterusnya menjadikan negeri ini kedua terbanyak selepas Selangor.
Menurutnya, adalah mengecewakan untuk mengetahui sebanyak 277 kes kematian direkodkan di negeri ini setakat 22 Ogos 2021 sekali gus hampir semua kes direkodkan di Kota Kinabalu dan Tawau.