Timbalan pengarah mengaku buat tuntutan palsu

KOTA KINABALU: Timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan dijatuhi hukuman denda RM8,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Tertuduh, Christopher anak Billy, 44, mengaku bersalah membuat tuntutan palsu elaun perjalanan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Laporan Berita Harian hari ini, mengikut pertuduhan alternatif pertama, Christopher mengaku menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu resit hotel dengan jumlah RM240 untuk membuat tuntutan elaun perjalanan dalam negeri.

Bagi pertuduhan alternatif kedua, tertuduh sekali lagi menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu dua resit hotel masing-masing berjumlah RM270 dan RM264.

Pertuduhan alternatif ketiga, menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu resit hotel berjumlah RM267 untuk membuat tuntutan perjalanan dalam negeri.

Pertuduhan alternatif keempat pula, tertuduh menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu resit hotel dengan jumlah RM345.