PAPAR: Tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka di Kampung Marahang Tuntul, Papar, ditimbus tanah runtuh dalam kejadian pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Papar bersama Unit Storm digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 16 anggota dengan dua jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah telah tertimbus sepenuhnya dengan tiga mangsa dilaporkan terperangkap.
“Mangsa pertama ditemui pada jam 4.20 petang, mangsa kedua lima minit kemudian, manakala mangsa ketiga ditemui pada jam 8.45 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada seorang wanita berusia 34 tahun serta dua anaknya berusia 6 dan 10 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi tadi dengan bantuan pelbagai agensi lain termasuk PDRM, ATM, KKM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.
