Pembatalan Sambutan Hari Malaysia, Tanda Kerajaan Utamakan Mangsa Banjir – Nizam

KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri berikutan bencana banjir besar di Sabah disifatkan sebagai langkah bertanggungjawab dan tepat pada masanya.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ketika rakyat berdepan musibah, tumpuan utama ialah keselamatan nyawa dan kesejahteraan komuniti berbanding penganjuran acara sambutan.

“Sambutan boleh ditunda, tetapi nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh diganti.

“Keutamaan kerajaan sekarang ialah untuk membantu mangsa banjir yang sedang berdepan kesusahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam merupakan Ahli dewan undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan, rakyat Sabah perlu terus bersatu, saling membantu dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menjalankan tugas.

Katanya, setiap bentuk bantuan sama ada barangan asas, tenaga sukarela mahupun doa amat bermakna bagi mangsa yang terkesan.

“Hari Malaysia adalah simbol perpaduan. Dalam semangat itu, kita perlu menunjukkan solidariti bukan sahaja dengan kata-kata semangat, tetapi menerusi tindakan yang meringankan beban mangsa,” ujarnya.

Beliau yakin Sabah mampu bangkit semula daripada dugaan ini dengan semangat kebersamaan dan ketabahan rakyat.